Undi Harapan tidak masuk syurga punca Harapan kalah teruk

KUALA TERENGGANU – Hasil post- mortem yang dilakukan Pakatan Harapan (Harapan) Terengganu mendapati terdapat dua punca utama penyebab kekalahan teruk parti itu di negeri ini hingga gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU14.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, sebab pertama adalah rakyat mahu tumbangkan kerajaan BN namun persepsi mengatakan BN akan menang jika undi terlampau banyak diberi kepada Harapan menyebabkan pengundi beralih kepada Pas.

Punca kedua katanya adalah rakyat dihantui dengan dakwaan mengatakan mengundi Harapan sama seperti mengundi DAP dan memberi undi kepada orang kafir tidak dijamin masuk syurga.

“Ada lagi ungkapan sebegini di peringkat akar umbi, mungkin ini bukan arahan dari kepimpinan pusat tapi percakapan-percakapan sebegini memberi kesan kepada rakyat,” katanya pada Majlis Berbuka Pusa Badan Pimpinan Bersatu di sini semalam.

Dalam PRU14 pada 9 Mei lalu, Harapan yang bertanding atas tiket PKR gagal memenangi sebarang kerusi di Terengganu manakala Pas dan BN masing-masing 22 dan 10 kerusi.

Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu bagaimanapun reda dengan kekalahan tersebut dan fokus utama beliau kini adalah menambah jumlah keahlian parti itu sebagai persediaan menghadapi PRU15 dalam tempoh lima tahun lagi.

Menurutnya, Bersatu Terengganu mempunyai keahlian sekitar 1,800 orang dan jumlahnya dijangka bertambah sehingga 200 peratus dengan anggaran 5,000 hingga 6,000 orang menjelang akhir tahun ini selain pembentukan jawatankuasa 366 cawangan seluruh negeri.

Razali turut mengesahkan ada beberapa bekas wakil rakyat BN dan jawatankuasa Umno Bahagian yang lama tersisih menghubungi beliau untuk menyertai Bersatu selepas Harapan berjaya mengalahkan BN dan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

Atas dasar itu, beliau yang sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Marang sebelum menyertai Bersatu menjangkakan 50 peratus penambahan ahli baru di Terengganu adalah dari kalangan bekas ahli politik Umno dan Pas.

“Ada bekas YB dan Ajk Bahagian hubungi saya untuk bersama Bersatu. Kita cakap dia tidak boleh bypass (pintas), kena ikut saluran biasa isi borang sama seperti ahli baru lain sebab kita faham yang pemain-pemain politik ini sebenarnya di kalangan ahli Umno atau Pas saja sama ada aktif atau tidak,” katanya.

Razali berkata, dengan penubuhan cawangan di seluruh negeri pihaknya juga percaya usaha memadam pandangan negatif rakyat kepada DAP dapat dilakukan agar Harapan mampu melebarkan kemenangan di Terengganu kelak.

“Kita ada Unit Cakna Rakyat yang akan memberi penjelasan mendalam kepada rakyat yang DAP sebenarnya bukan anti Melayu, bukan anti Islam. Saya rasa dalam tempoh dua atau tiga tahun nanti rakyat akan faham apatah lagi DAP sendiri kini menjadi Menteri Kewangan,” katanya.

SUMBER

No comments:

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.