Kerajaan Terengganu wajar tubuh RCI kes saman RM1 bilion zaman PAS

Penamatan konsensi balak secara tidak sah oleh Kerajaan PAS Terengganu pada 2003 telah menyebabkan kerajaan negeri telah disaman sebanyak RM1 bilion oleh syarikat pemaju, Riyapadu Sdn Bhd.

Kes saman yang berlanjutan hampir 7 tahun itu akhirnya memihak kepada Riyapadu apabila pihak mahkamah memutuskan kerajaan negeri bersalah dan perlu membayar saman berjumlah RM1 bilion.

Ini adalah satu kecuaian yang nyata dilakukan oleh kerajaan PAS Terengganu pimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Sehubungan itu, Pakatan Harapan Terengganu meminta supaya satu Suruhanjaya Diraja (RCI) ditubuhkan dengan kadar segera bagi menyiasat kecuian ini.

Harapan berpendapat rakyat perlu tahu cerita sebenar di sebalik kes tersebut.

Ini kerana, jumlah RM1 bilion itu bukan suatu jumlah yang sedikit dan rakyat Terengganu terpaksa menanggung kerugian akibat daripada kecuaian yang tidak sepatutnya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Amanah Terengganu, Hasbie Muda telah meminta supaya Abdul Hadi Awang membuat penjelasan mengenai isu tersebut tetapi sehingga kini belum ada apa-apa jawapan dari Presiden PAS itu.

Kronologi saman balak Riyapadu terhadap kerajaan Terengganu


Pada 3 April 2003, Riyapadu telah menandatangani perjanjian konsesi melalui tender terbuka mengambil hasil hutan di kawasan seluas 16,587 hektar di Mukim Tembat dan Petuang, Hulu Terengganu.

Melalui perjanjian dengan kerajaan negeri yang ketika itu diperintah PAS, Riyapadu diberi kebenaran mengambil kayu balak dan hasil hutan di kawasan itu dan bersetuju membayar kerajaan negeri RM25 juta sebagai premium pembalakan.

Riyapadu telah menjelaskan bayaran premium RM20 juta pada 9 April 2003 dan RM5 juta pada 5 Julai tahun yang sama dan bersedia menjelaskan bayaran premium selanjutnya melalui bank.

Namun, apabila bank pembiaya Riyapadu memohon pengesahan bertulis kerajaan negeri pada masa itu, kerajaan negeri enggan memberi sebarang kerjasama dan menamatkan konsesi balak berkenaan.

Setelah menamatkan konsesi tersebut, kerajaan PAS negeri didakwa bertindak merampas kayukayu balak yang telah ditebang dan dilelong kepada pihak lain tanpa persetujuan syarikat.

Riyapadu mendakwa lelongan itu membolehkan kerajaan negeri memperolehi hasil hampir RM10 juta, selain mendapat hampir RM20 juta lagi hasil lelongan di kawasan konsesi lain yang infrastruktur jalan di kawasan terlibat telah diusahakan oleh Riyapadu.

Berikutan pelanggaran perjanjian itu, Riyapadu mendakwa dibebani hutang melebihi RM8 juta dengan kontraktor dan pembeli balak selain kerugian bayaran premium RM25 juta yang telah dijelaskan selain berdepan tindakan undangundang oleh kontraktor dan pembeli balak terlibat.

Riyapadu mengemukakan saman itu bagi mendapatkan semula bayaran premium RM25 juta, kos kewangan dan kehilangan keuntungan dijangka hampir RM1 bilion.

No comments:

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.