Mengharap 'ihsan' anak

Seorang warga emas yang tidak dapat berjalan berikutan masalah saraf sejak tiga tahun lalu hanya mengharapkan ihsan anak perempuan dan dua cucunya untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Rokiah Yusoff, 77, dari Kampung Paya Kedai Mulong di sini, turut menghidap darah tinggi dan kencing manis kronik.

Hanya anak sulung, Norma Hussin, 58, dan cucu, Sabri Mohamed, 25, serta Wardah, 24, nadi untuknya meneruskan sisa hidupnya sebelum dijemput Ilahi.

Malah, dia juga menetap bersama Norma sejak beberapa tahun lalu terutama selepas wanita itu bercerai dengan bekas suami.

Untuk bergerak Rokiah berkata, dia mengengsot disebabkan tidak dapat berjalan manakala selebihnya diuruskan Norma atau Wardah.

“Segala perbelanjaan harian kami di rumah ini ditanggung Wardah yang bekerja di restoran di Kota Bharu dengan pendapatan RM400 sebulan dan Sabri yang mengambil upah bekerja kampung.

“Mata yang memandang tidak seberat bahu yang memikul, namun inilah kehidupan yang perlu mak cik lalui. Namun mak cik tetap bersyukur kerana masih ada anak dan cucu yang boleh bergantung harap.

“Walaupun dua lagi anak tinggal di Pengkalan Chepa dan Machang dan sudah berkeluarga, mereka tetap datang menziarahi mak cik di sini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Rokiah berkata, lebih menyedihkan mereka apabila rumah didiami ketika ini terlalu uzur dan lantai yang sudah berlubang selain bocor.

Kediaman itu yang tidak sebesar mana menjadi tempat untuk mereka tidur dan makan.

“Memandangkan adanya seorang cucu lelaki yang tinggal bersama, hanya kain langsir digunakan untuk memisahkan ruang tidur,” katanya yang tidak mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Tumboh Wan Azizi Wan Ab Ghani berkata, pihaknya akan mengutarakan masalah dihadapi keluarga itu ke pengetahuan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Katanya, beliau akan cuba memohon untuk membaik pulih rumah keluarga itu yang sudah uzur selain memohon bantuan JKM.

Ubah segera kerajaan!!

No comments:

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.