Tidak Mencerminkan Islam, Kelantan Negeri Pengotor



Pagi ini ke Kuala Terengganu menghadiri pertemuan Amanah Kelantan dengan Amanah Terengganu dan Amanah Melaka.

Dalam perjalanan saya tertarik melihat sekumpulan pekerja sedang mencuci tong sampah. Saya sangkakan itu tong sampah yang baru. Saya singgah dan sempat berbual dengan mereka.




Mereka ini merupakan pekerja pencuci tong sampah yang telah digunakan. Seawal 9.30 pagi tong-tong sampah jalan Penarik-Kuala Terengganu itu sudah kosong diangkut Majlis Daerah.

Bukan setakat dibasuh, bahkan mereka mencuci tong sampah itu dengan sabun. Diberus tong sampah itu seperti orang mencuci kereta.



Saya kagum melihat cara mereka berkerja. Cara pemungutan sisa buangan serta cara pengurusan bahan buangan dilihat begitu sistemik dan canggih.

Ini berbeza dengan negeri kita yang terlalu lemah dalam hal mengurus sisa pepejal. Negeri yang mengaku berkerajaan islam tetapi soal pengurusan sisa pepejal tidak diberikan perhatian yang khusus.
Negeri yang mempunyai bilangan orang islam teramai ini sepatutnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain. Namun agak memalukan bila negeri Kelantan kini terkenal dengan negeri yang kotor.




Selain sistem yang lemah dan ketinggalan zaman, sikap orang kita juga menjadi faktor kenapa Kelantan kini terkenal dengan negeri yang kotor.

Sikap orang kita yang kurang prihatin dan tidak sensitif dalam konteks menjaga kebersihan antara punca utama kenapa isu sampah ini terus menjadi masalah yang tidak putus dibicarakan.
Namun, saya sehingga kini masih berharap kerajaan Kelantan boleh mengemukan satu plan tindakan komprehensif bagaimana untuk mengurusan sisa pepejal.

Kelantan antara negeri yang kurang tong sampah seperti Jepun. Berbeza dengan Terengganu, Penang, Kedah, Melaka dan Selangor menyediakan banyak tong sampah bertujuan membantu rakyat membuang sisa makanan dengan lebih sempurna.

Di Jepun terutamanya bandar raya Tokyo amat susah untuk melihat sampah. Walau tidak banyak tong sampah mereka tidak buang sampah merata-rata.

Di Kelantan juga tong sampah tidak banyak seperti negara Jepun namun tahap kebersihannya sangat berbeza. Di Kelantan sisa makanan penuh dalam longkang manakala sampah pepejal bertaburan di tepi tong sampah besar akibat tong sampah yang penuh.

Mungkin ada pembaca kurang selesa dengan pendedahan tentang tahap kebersihan negeri ini sehingga jolokan Kelantan Serambi Mekah tidak lagi sesuai diguna pakai di Kelantan. Namun itulah yang perlu ditelan bersama serta disegerakan untuk menyelesaikan permasalahan ini.

Kegagalan menyelesai permasalahan ini dibimbangi akan melahirkan lebih ramai generasi yang tidak kisah dengan pencemaran. Setiap individu perlu ditanam konsep bertanggungjawab terhadap sampah sendiri.

Hazmi Hassan
Ketua Pemuda Amanah

No comments:

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.