Razali Idris Bukan Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu



Pakatan Harapan (PH) Terengganu melalui kepimpinan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad semakin padu dan mantap berbanding beberapa bulan lalu.

Kedudukan ini pastinya menggugat kedudukan Barisan Nasional  (BN) yang hanya memiliki lebihan dua kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding pembangkang, PAS dan PKR.

Ketika ini DUN Terengganu adalah 17-15, lebihan dua kerusi milik BN dimenangi pada pilihan raya ke-13 lalu.

Pada ketika ada pihak tertentu sengaja cuba mengeruhkan kedudukan PH Terengganu, ia ternyata semakin bertenaga.

Struktur PH Terengganu kini hampir 90 peratus jawatan pentingnya sudah diisi hasil keputusan mesyuarat secara konsensus.

Melalui semangat konsensus yang dicapai pada mesyuarat PH Jumaat 10 November lalu diadakan di Pejabat AMANAH negeri, jawatan penting dalam struktur sudah dibuat pelantikan.

Selain Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang kini menjadi Pengerusi PH Terengganu, tiga timbalan Pengerusi adalah:

a) Pengerusi PKR Negeri, Azan Ismail;
b) Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk  
        Razali Idris, dan
c) Pengerusi DAP, Encik Ng Chai Heng.

Azan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Bandar dipersetujui sebulat suara untuk menjadi Pengerusi Pilihan Raya Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PH negeri.

Sebagai satu-satunya ADUN PH di Dewan Negeri Terengganu, selain bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan dilihat paling layak menduduki jawatan berkenaan.

Chai Heng turut dipilih menjadi Bendahari PH.

Sejauh ini, Razali sahaja belum ditugaskan sebarang fungsi khusus, bagaimanapun beliau antara tiga Timbalan yang ditugaskan mempengerusikan mesyuarat Sekreatriat PH.

Sekreatariat PH akan dianggotai oleh semua setiausaha empat parti komponen PH Terengganu selain Ketua-Ketua PH lapan Bahagian di Terengganu.

Setiusaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Mohamad kini adalah Setiausaha PH Terengganu.

Setiausaha PPBM negeri, Hambali Abdul Latiff dipilih sebagai Ketua Penerangan/Ketua Komunikasi PH Terengganu pada mesyuarat itu.

Ketua Pemuda AMANAH, Hasbi Muda adalah Ketua Pemuda PH negeri sementara Ketua Wanita dijangka akan dilantik daripada PKR.

Timbalan Ketua PPBM Terengganu yang juga bekas Ahli Parlimen Setiu, Mohd Yusop Majid dipilih sebagai Pengerusi Biro Undang-Undang Negeri.

Yusop juga adalah Ketua Bahagian Setiu.

Dijangkakan, pada mesyuarat akan datang, beberapa jawatan pengerusi lain untuk PH Terengganu dijangka akan turut dilantik.

Mesyuarat terakhir itu jelas memperlihatkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Raja Bahrin walaupun banyak pihak mengatakan ada pertelingkahan dalam isu ketua PH sebelum ini.

Semua ahli berikrar untuk memperkukuhkan PH Terengganu dan bersiap sedia untuk berdepan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14 yang semakin hampir.
Semua parti diperuntukkkan empat wakil pada mesyuarat PH negeri.

HAMBALI ABDUL LATIFF
Ketua Penerangan dan Pengarah Komunikasi
Pakatan Harapan Terengganu

20 November 2017

No comments:

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.