Hanya Harapan mampu ubah negara, PAS tidak boleh diharap - Mahfuz Omar


Hasil carian imej
Hanya Pakatan Harapan sahaja yang diyakini mempunyai potensi untuk menyaingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 nanti, demikian kata Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak boleh mengharapkan PAS untuk mengubah corak arena politik negara kerana parti itu hanya mensasarkan 44 kerusi pada PRU nanti.

"Sekiranya menang 44 kerusi sekalipun, mereka tidak boleh menjadi pemerintah negara. Itupun jika dapatlah (44 kerusi), bahkan saya rasa PAS hanya mampu menang sebilangan kecil sahaja kerusi sekiranya mereka masih teruskan rajuk mereka dengan Harapan," katanya kepada Sinar Online.

Mahfuz sejak kebelakangan ini sering tampil lantang menyuarakan sokongannya terhadap Harapan.

Tindakannya itu jelas bertentangan dengan pendirian PAS yang enggan mempunyai sebarang hubungan politik dengan Harapan.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, dia tidak akan sesekali meninggalkan PAS kerana ada 'mesej' yang ingin disampaikan kepada ahli parti.

"Saya mahu kekal di sini. Saya tidak akan ke mana-mana termasuk Bersatu, PKR, atau Amanah. Saya hanya mahu berada dalam PAS.

"Saya mahu buktikan yang tidak salah jika kita mempunyai pandangan politik berbeza daripada parti. Kita tidak perlu keluar parti dan boleh terus bebas menyuarakan pandangan kita," katanya.

Beliau dalam masa sama menafikan kecenderungannya dalam menyokong lawan kepada partinya, iaitu Amanah walaupun sering dilihat hadir pada majlis dan program anjuran parti serpihan PAS itu.

No comments:

Theme images by Jason Morrow. Powered by Blogger.